Putih polos
Hari Isnin menjadi permulaan hari, lantaran amat penting untuk kita memilih rona pakaian yang sesuai untuk membantu membangkitkan mood. Putih adalah pilihan yang sesuai, warna ini polos dan suci. Ia membantu minda kita relaks dan persiapkan diri untuk memulakan hari. Warna putih memberi impak bersih dan tenang kepada si pemakai. Tidak semestinya anda menggayakan semua busana putih sebaliknya sedikit palitan warna ini sudah mencukupi.
Kekuatan merah jambu &ungu
Rona-rona lembut sentiasa menjadi pilihan terutama kaum Hawa. Merah jambu dan ungu mewakili imej sopan dan manis. Warna ini mempunyai aura yang sangat positif, pemakainya akan menjadi lebih bersemangat dan yakin untuk melaksana segala urusan atau tugasan yang diamanahkan. Gayakan salah satu rona ini dan nikmati sensasi aura warna tersebut.
Biru hari membuat keputusan
Bagi orang yang arif tentang warna, mereka akan memilih biru untuk hari Rabu. Warna ini melambangkan ketenangan, kematangan dan rasional. Ada sesetengah syarikat atau organisasi yang membuat mesyuarat pada hari Rabu, golongan ini percaya aura warna biru akan mempengaruhi mereka membuat keputusan yang tepat. Begitu juga dengan kehidupan peribadi, manfaatkan kekuatan rona biru untuk keputusan bijak.
Oren & kuning menceriakan
Hari Khamis menjadi hari yang sangat sibuk bagi kebanyakan orang. Hari berikut kemuncak untuk memastikan urusan minggu tersebut berjalan lancar. Lantaran, warna kuning, oren atau jingga dijadikan pilihan. Warna ini mempunyai tenaga luar biasa, ia membiaskan keceriaan dan membuatkan si pemakai aktif serta bertenaga.
Hijau menyegarkan
Melihat warna hijau bagaikan terapi selepas berpenat lelah. Warna ini amat sesuai digayakan pada hari Jumaat, aura hijau memancarkan kesegaran dan memberi terapi istimewa kepada kita. Pilih kumpulan rona hijau yang sesuai dengan diri anda, sama ada hijau muda, pucuk pisang atau hijau tua. Tepuk dada, tanya selera.
Merah penuh tenaga
Selepas memerah otak, Sabtu menjadi hari berlibur untuk bersama keluarga, si dia mahupun teman-teman. Pastinya hari tersebut penuh dengan aktiviti menarik, usah ragu-ragu menggayakan rona merah. Bukan sahaja menarik perhatian, malah warna ini memantulkan tenaga luar biasa buat anda.
Hitam penutup hari
Ahad hari untuk istirahat di rumah, anda memerlukan privasi untuk menenangkan fikiran dan merehatkan tubuh bagi memulakan hari baru. Rona-rona gelap membantu anda mendapatkan mood untuk tujuan tersebut.
mingguan wanita
0 comments:
Gunakan bahasa yang sopan. :)